CIKGU TEH dalam ingatan...

Setiap kali menjelangnya 16 MAY, sempena HARI GURU.. pasti ingatanku pada zaman sekolah terimbau kembali. Teringat bagaimana 16 MAY diraikan begitu meriah di sekolah-sekolah. Bermula zaman sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah. Pasti tercuit rasa hati terkenang kisah lama…
Bagiku secara peribadi, antara guru yang paling aku takkan lupakan sehingga akhir hayatku ialah CIKGU TEH. Beliaulah guru matematik dan bahasa inggeris yang menjadi kesayangan semua pelajar di SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGALA KEM, PORT DICKSON. Memang dia serius ketika mengajar tetapi setiap apa yang diajarnya, kami semua cepat faham. Yang aku suka, teknik yang diajarnya terutama dalam subjek bahasa inggeris betul-betul memberi kesan kepadaku sehingga sekarang.  Malah dari  pemahaman yang aku terima hasil dari apa yang diajarnya itu, aku sentiasa mendapat markah “A” dalam subjek bahasa inggeris sejak dari sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah.  Aku betul-betul suka dan kagum dengan caranya mengajar.
Beliau juga merupakan seorang guru yang sentiasa perihatin kepada anak-anak muridnya dan juga seorang yang peramah.  Perkara yang paling seronok dan yang aku tunggu-tunggukan ialah bila tibanya TAHUN BARU CINA. Pasti rumah CIKGU TEH yang berwarna kuning air yang terletak di atas bukit di BATU 1, Port Dickson itu menjadi tumpuan kami satu kelas. Berebut-rebut kami makan kuih-muih dan buah oren. Kalau kena masanya, beliau akan menyajikan buah jambu batu yang ditanam olehnya di halaman rumah. Memang indah saat itu…!
Namun detik-detik manis itu terpaksa kami tinggalkan apabila kami mula menjejak kaki ke alam sekolah menengah.  Memang sukar mencari guru seperti CIKGU TEH.. Aku menghadapi sedikit kesukaran apabila mempelajari subjek matematik di sekolah menengah.  Cara cikgu yang mengajar matematik di sekolah menengah berlainan benar dengan cara dan pendekatan yang dilakukan oleh CIKGU TEH.  Ada juga terniat ingin berjumpa CIKGU TEH dan meminta beliau mengadakan tuisyen tetapi tuntutan masa yang terhad memaksa aku menerima hakikat yang aku perlu menerima apa yang diajar oleh guru lain selain dari CIKGU TEH. 
Bagaimanapun, untuk subjek bahasa inggeris, walau bukan lagi dengan CIKGU TEH,  tetapi apa yang diajarnya tetap aku ingat sampai bila-bila. Alhamdulillah, aku tidak menghadapi apa-apa kesukaranpun untuk subjek ini.
Masa berganti masa.. tahun beganti tahun.. aku tidak pernah lupa mengirimkan kad ucapan TAHUN BARU CINA kepadanya. Perkara yang paling menggembirakanku ialah apabila dia membalas kad ucapan kirimanku dengan disertai kata-kata semangat. Bagiku, itu sudah cukup membanggakanku kerana dalam ramai-ramai anak muridnya, dia masih mengingatiku..!
Perkara ini berlarutan sehingga aku menyambung pengajianku di POLITEKNIK PORT DICKSON. Satu perkara yang aku takkan lupakan sehingga ke akhir hayatku ialah kesudiannya menghadirkan diri ke majlis perkahwinanku pada 29 APRIL  1995. Siap masuk ke bilik pengantin hanya semata-mata ingin berjumpa denganku secara peribadi.

Namun, itulah kali pertama dan terakhir sejak aku meninggalkan SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGALA, aku dapat bertemu dengannya.  Selepas aku memulakan kehidupanku sebagai isteri, aku tidak lagi menghubunginya. Entah mengapa….! Dalam pada itu, aku ada juga tertanya-tanya tentang khabarnya tetapi yang ralatnya, mengapa aku tidak langsung tergerak untuk menghubunginya walaupun sekadar kad ucapan TAHUN BARU CINA..!  Mungkin, aku sibuk dengan urusan rumahtangga dan kerjayaku..
Sehinggalah bila aku mula “bertemu” semula dengan rakan-rakan sekolah rendah dahulu di FACEBOOK dan juga di “SKS-Facebook”, aku telah diberitahu oleh bekas pelajar  SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGALA bahawa CIKGU TEH sebenarnya telah lama meninggal dunia. Menurut mereka, beliau telah pergi sejak dari tahun 2002 lagi…
Pemergiannya sesungguhnya memang meninggalkan kesan yang amat mendalam bagi kami bekas pelajar-pelajar yang menyayanginya.  Bagiku, CIKGU TEH merupakan seorang guru yang mengajar dan mendidik dengan penuh keikhlasan kerana sehingga ke hari ini.. aku masih mengingati segala apa yang diajar olehnya.. Dan sehingga ke hari ini juga, aku tidak ketemu lagi seorang insan bergelar guru sepertinya lagi…
Cikgu Teh Poh Teck..

2 comments:

lanni said...

sedeyhhh...

nzrysf said...

assalam..

ooh cikgu Teh in memory.. cikgu ku juga masa kami tggl di kem sungala.. cikgu Teh mengajar kami dlm darjah 5 (1983) & 6 (1984).. ya gaya & suara nya mengajar masih diingati.. & style joke dia ;)

puan di sungala tahun bila..?