"Kelahiran" yang dinantikan... akhirnya...!

AKU REDHA - karya novel pertamaku. Inspirasi dari kisah sendiri dan gabungan kisah dari rakan2..






ITU AKU - karya novel keduaku (inspirasi dari kisah saudara Roy)





Antara novel-novel terbitan INFO DIDIK SDN BHD

SINOPSIS AKU REDHA & ITU AKU...

ITU AKU
“ITU AKU! Redah sahaja apa yang mendatang dengan berani!”

"Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh menjahanamkan diri sendiri. Perkara utama harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan kenyataan"

“Kita memerlukan orang lain untuk berjaya kerana kita memerlukan sokongan mereka, kata-kata semangat dari mereka, suntikan inspirasi dari pengorbanan mereka demi kejayaan kita.”
         
Suatu pendedahan eksklusif dari kisah sebenar seorang bekas mat rempit sejati. Tentang kisah suka duka seorang mat rempit sebelum dia bergelar pelumba Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dan yang paling penting, kebanggaannya kerana layak berdiri sama megah dengan pelumba-pelumba terkenal seperti Velentino Rossi, Ben Spies, Casey Stoner dan Danny Pedrosa.
          Latar cerita ini diangkat daripada isu rempit yang diolah bersama penggunaan bahasa pertuturan mat rempit itu sendiri, memberi sedikit kelebihan kepada ITU AKU untuk dekat di hati para pembaca dari semua golongan.
          Selami dan fahami jiwa seorang remaja lelaki yang bernama Azrul Azizi atau ROY yang menghadapi konflik jiwa remaja akibat dari pelbagai tekanan dan dugaan yang melanda dalam hidupnya. Penceraian ibubapanya, pengaruh kawan-kawan, kematian ibunya, kekurangan perhatian dan kasih sayang dari keluarganya sendiri; semuanya ini menjadikan Roy seorang pemberontak dalam diam sehingga sengaja menjebakkan dirinya ke dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.
          Apa bagusnya menjadi mat rempit? Apa pengajaran dan pelajaran yang boleh diambil ikhtibar dari pengalaman merempit? Bagaimana ROY dapat mengubah persepsi masyarakat dari seorang mat rempit yang hina sehingga boleh mengharumkan nama Malaysia di mata dunia dalam sukan permotoran?
       Benarkah untuk berjaya dalam hidup, kita perlu bersedia untuk berkorban walau yang terkorban itu adalah sesuatu yang kita sayangi? Temui jawapan dan pengajarannya dalam kisah ROY ini…
~ AIDA ANGGERIK ~
 ----------------------------------------------

AKU REDHA
Tiap apa yang kita miliki.. Harus kita sayangi.. tetapi..
Tiap apa yang kita sayangi… Tak semestinya dapat kita miliki….”

“Setiap ciptaan Allah mempunyai rahsia yang tersendiri..
Samalah juga dengan kehidupan kita.. Setiap yang berlaku bukanlah perkara sia-sia..
Sebaliknya mempunyai hikmah yang tersendiri..”
“Fa biai yi aala irabbi kuma tukaz ziban..” ar-Rahman..

           
NUR ARISSA wanita tabah dan cekal dalam mengharungi liku-liku perjalanan hidupnya. Ikuti kisah suka duka wanita yang mempunyai ‘split-personality’ dari zaman remajanya ini sehingga akhirnya dia menjadi pakar motivasi yang terkenal dan disegani.
Apakah yang memotivasikan dirinya sehingga dia menjadi sebegitu tabah dan kuat semangat? Apakah rahsia keREDHAan Nur Arissa kepada Tuhannya sehingga dia menjadi insan yang cemerlang walau pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa dilaluinya?
Fasa-fasa kehidupan yang dilalui oleh Nur Arissa dari seorang gadis yang menghadapi konflik jiwa dengan pelbagai tekanan, isteri yang teraniaya dan didera dari segi mental dan fizikal serta janda yang selalu dicemuh dan difitnah, semuanya dapat dijadikan ikhtibar dalam mematangkan diri kita dalam kehidupan.
Selami hati dan pergolakan jiwa Nur Arissa. Walau terdapat banyak persoalan berat dalam hidupnya, cerita ini diolah dengan bahasa yang santai agar para pembaca dapat menghayati ceritanya  dengan mudah dan tidak mudah merasa bosan. Insyaallah…
    
~ AIDA ANGGERIK ~

ANAK OH ANAK..!

Bila sudah menjadi seorang ibu.. barulah kita dapat merasai dan mendalami perasaan sebenar hati emak-emak kita dahulu.  Barulah kita tahu bagaimana sukarnya seorang ibu menjaga anak-anaknya dan memastikan anak-anaknya mendapat kasih sayang serta didikan yang sempurna. Dari anak-anaknya dalam kandungan, bayi, kanak-kanak, remaja sehingga meningkat dewasa. Hatta bila anak-anaknya sudah berkahwin pun, hati seorang ibu sentiasa bimbangkan keselamatan anak-anaknya.
Bagi aku secara personal.. setelah menjadi seorang ibu.. baru aku faham akan kata-kata emak aku takkala aku tidak mendengar kata-katanya dahulu;  “kau taulah rasanya.. bila dah jadi emak nanti!”  Sesungguhnya, ayat keramat itu memang benar-benar mengajar aku akan nilai kasih sayang sejati dari seorang yang bergelar IBU…
Perasaan keibuan itu sudah wujud sejak aku disahkan hamil lagi. Kujaga kandunganku itu dengan penuh kasih dan sentiasa memanjainya dengan bacaan-bacaan ayat-ayat suci al-Quran, kata-kata lembut dan usapan-usapan sayang di perutku. Kujaga juga pemakananku bagi memastikan bayi dalam kandunganku mendapat manafaatnya. Kukira, begitu jugalah yang dilakukan oleh emakku pada diriku dan adik-adik yang lain.
Bila bayiku lahir, lengkaplah kehidupanku sebagai seorang ibu. Rutin seorang ibu, bangun malam – menyusukan bayi dan adakalanya jika bayi kurang sihat, malamnya terpaksa berjaga sehingga ke pagi melayan rengekan bayiku yang tidak selesa. Cuma waktu siang, masa ku agak terbatas untuk menjaga anak-anakku kerana aku bekerja. Namun begitu, waktu malamnya aku gunakan semaksimumnya dalam menjalankan tugas-tugas sebagai seorang ibu.
Sehinggakan jika aku terpaksa bekerja lebih masa dan pulangnya lewat malam, anak-anak yang kutinggalkan di rumah mak mentua sudahpun tidur. Namun, aku tetap membawa mereka pulang ke rumahku walau mereka sedang tidur. Aku tidak betah meninggalkan mereka di situ dan aku pula tidak boleh berpisah dengan mereka. Walau mereka sedang tidur dan tidak tahu apa yang berlaku, aku puas kerana mereka semua ada di hadapan mataku.
Membesarkan anak-anakku ketika mereka di bawah usia tujuh tahun sememangnya amat mencabar kesabaranku sebagai seorang ibu. Mereka sebenarnya amat aktif dan lasak, terutama anak lelakiku. Sehinggakan ada di kalangan saudaraku meminta aku merujuk kepada doctor pakar takut-takut anakku itu adalah kanak-kanak ‘hyper-aktif’ yang melampau. Begitu juga dengan emakku. Katanya, aku mengajar anak-anakku menjadi manja sehingga mereka terlampau lasak, aktif dan tidak terkawal. Katanya lagi, dia menjaga aku dan adik-beradikku tidak seteruk ini. Semua anak-anaknya mendengar kata!
Sedihnya aku dengan kata-kata itu. Tapi.. bila difikirkan secara logiknya, dahulu .. semua kanak-kanak kurang pendedahan dan kurang aktif. Tetapi sekarang, dengan system pemakanan yang maju dan keterbukaan pemikiran ibu-ibu dalam mendalami ilmu-ilmu “parenting skill”, kukira anak-anak zaman sekarang lebih matang dari segi pemikiran dan keinginan mereka. Mereka lebih bersifat terbuka, berdikari dan sentiasa ingin ‘mencuba’ sesuatu yang baru. Berbanding dengan kanak-kanak dahulu yang lebih bersifat pasif, ‘reserve’ dan kurang keyakinan diri.
Demi memuaskan hati semua pihak, aku merujuk kepada pakar kanak-kanak. Ternyata doctor pakar itu bersetuju dengan pendapatku. Lebih membanggakan lagi.. doctor itu mengatakan yang sifat yang ditunjukkan oleh anakku itu adalah normal malah melebihi keaktifan kanak-kanak yang lain kerana dia mempunyai IQ yang sentiasa berjalan aktif dalam menjana mindanya. Bagiku itu bukan satu masalah malah itu satu anugerah Allah pada anakku itu..!
Namun dalam melayan kerenah kenakalan serta kebijakkan anak-anakku itu,  aku akui ianya sangat-sangat mencabar keimanan dan kesabaranku. Dahulu, aku pernah berangan ingin menjadi seorang ibu yang lembut tutur katanya serta lemah-lembut sifatnya dalam mendidik anak-anak. Huh.. mungkin itu hanya sekadar angan-angan di waktu remaja sahaja..! Mungkin, aku sememangnya tidak langsung mempunyai cirri-ciri itu..
Manakan tidak, selagi aku tidak menjerit bagaikan tarzan kat hutan, selagi itu mereka buat dek aje dengan apa yang kusuruh..! Contoh paling dekat ialah bila mengejut mereka bangun pagi!.. Dari selembut sutera suaraku mengalun memanggil mereka bangun sehinggalah suaraku bertukar nyaring tahap paling tinggi volumenya.. tak jugak sedar-sedar..! Nasib baik aku tak bertukar jadi gaban aje!..Yang peliknya, bila Ayah dia bersuara dengan satu perkataan; “Bangun!”… Ehh… elok aje mereka sedar, bangun dan terus mandi..! Huhuhu….. tak ke haru namanya!
Kalau waktu pagi dalam persiapan nak ke sekolah, rumahku itu bagai ada anak seramai sepuluh orang! Bila kuperhatikan jiran-jiran yang lain yang mempunyai anak yang ramai, tak pulak seribut macam kat rumah aku! Huh… pagi-pagi lagi tahap tekanan darahku dah tinggi! Masa nilah baru aku tersedar dan teringat, mengapa emak aku dulu selalu suka membebel! Pernah aku mengingatkan diriku yang aku tak akan jadi seorang ibu yang suka membebel. Tapi… bila sudah masuk ke alam realitinya, inilah hakikat sebenarnya.. Bukan boleh dirancang mahupun dikawal.
Kanak-kanak zaman sekarang bukan macam zaman aku dahulu.. Mereka lebih bersikap terbuka dan transparent! Mereka lebih gemar menyuarakan pendapat mereka secara berdepan daripada menyimpannya. Itu adalah lebih baik sebenarnya..! Namun, sebagai ibu bapa, bersiap-sedialah dari segi  emosi dan rasionalnya jika komen telus yang mereka lontarkan kadangkala bisa menikam sukma! Kadangkala, kita terpaksa menjadi ibubapa yang bertaraf professor dalam memenuhi segala pertanyaan yang dikemukakan oleh anak-anak. Segala jawapan yang diberi haruslah bersifat logic dan diterima akal kerana silap-silap jika didapati jawapan yang diberi tidak memuaskan, kita bakal ditanya dan diuji sekali minda kita.
Pernah sekali aku disoal oleh anak lelakiku yang ketika itu berumur 5 tahun di mana ketika itu kami sekeluarga menonton wayang cerita bertajuk Hulk; “Mama… kenapa Hulk tu bila jadi besar, baju dia koyak tapi seluar dia kecik macam tu jugak?” Aduh… menggelabah aku nak jawab.. selebihnya, tak sangka pulak macamana budak 5 tahun boleh berfikir ke situ pulak..! Sudahnya, aku serahkan soalan itu pada Ayahnya.  Hehhee….
Begitu juga bila melayan kerenah anak dara sulungku yang sedang meningkat remaja sekarang. Memang betul-betul mengujiku sebenarnya.. Terlebih tegur, dia akan menjawab dan memberontak dalam diam. Kadang-kadang, aku jadi sedih bila dia melawan cakapku. Terasa dia tidak menghormati aku sebagai ibunya. Masa tulah.. terkenang segala penat lelahku mengandung, melahirkan dan menjaga dia sehingga kini. Dan aku mula sedar, beginilah rasanya bagaimana perasaan emakku dahulu ketika aku melawan cakapnya dahulu.. 
Aku cuba melayan anak remajaku ini dengan cara pendekatan sekarang.  Baru kusedar, di  usia remaja mereka ini, mereka sebenarnya memerlukan ibubapa yang bertindak sebagai teman mahupun kawan. Dengan ini, mereka lebih bebas menyatakan apa yang mereka rasa dan mengharapkan ‘kawan’ mereka ini memahami perasaan mereka. Ya.. aku Berjaya memasuki alam mereka. Anak daraku kini tidak ubah seperti ‘adikku’ dan dia bebas menceritakan apa sahaja aktivitinya bersama kawan-kawan, fesyen terkini, idolanya,  mahupun ‘perasaan’ nya dengan lebih terbuka. Alhamdulillah.. pendekatan ini lebih merapatkan lagi hubungan kami anak-beranak malah mereka sebenarnya lebih respect kepada kita.!
Kepada wanita yang bergelar ibu di luar sana…  TAHNIAH.. dan BERSYUKURlah.. kerana dengan gelaran yang kita pegang ini sesungguhnya.. ia adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Memang perit dan pahit dalam memegang amanah Allah ini, namun sesukar manapun kita menghadapi dugaan dariNYA.. INSYAALLAH.. suatu hari nanti, Allah akan membalasnya dengan kemanisan yang tidak terperi.
Jadilah seorang ibu yang serba-boleh dan ikon dari pandangan dan penerimaan anak-anak kita. Sentiasa berdoa akan kesejahteraan dan kebahagiaan mereka. Moga suatu hari nanti.. kasih-sayang kita kepada mereka berbalas sehingga perjalanan kita di akhirat nanti berakhir ke pintu syurga berkat dari doa anak-anak kita yang soleh dan solehah..

Mama vogue…
 
Nura Adilla binti Shamsul Kamar


Muhammad Hadzim Bin Shamsul Kamar


Dhiya Raihanie Binti Shamsul Kamar


Permata hatiku..