Maafkan aku kawan...!

 
Korang ingat lagi tak entry aku yg bertajuk : Ter over kah aku??
 
Hmmm... memang aku akui... aku ini memang betul2 TER OVER!! Kawan baik aku yang dah lama aku avoid dari mengambil tau kisah hidup mati dia akhirnya "muncul" jua.. Itu pun bukan dia yang memunculkan dirinya sendiri tetapi kisahnya diberitahu oleh seorang rakan padaku.
 
Tanya rakanku itu.. "eh..ko tak nak melawat kawan kita yg sorang tu ke?"  "Nape dengan dia? Apahal lak aku nak lawat dia?" {Poyo tak soalan aku nihh??} "Laa... ko tak tau ke.. kawan kita sekarang terlantar sakit kat GH KL..! Dengarnya.. dia mengidap kanser prostat..!" "Haa??? YE ke? Bila kena nya? Teruk ke?" Tanyaku yg dah start gabra & terkejut sekaligus. "Entah.. aku pun tak tau.. Ni dia nak kena operate nihh.. dah byk kali asyik tangguh. Doktor pun dah tak boleh tunggu lagi takut merbahaya kat dia.. Eh..jom nak kita lawat dia.. Sian dia.. Katanya..dia takder kengkawan yg dtg melawat.." Ajak rakanku dgn nada sedih.
 
Akhirnya, kami berdua dan seorang lagi rakan sama2 berpakat untuk melawat beliau di GH KL. Pelbagai persoalan dan byk perkara yg berlegar2 di fikiranku ketika dalam perjalanan ke GH tuhh.. Pertama sekali.. aku membayangkan.. betapa teruknya aku sebagai seorang kawan yg pentingkan diri sendiri. Bukan sahaja aku malas ingin menghubunginya malah.. aku "block" lagi nama dia dalam FB friend list aku! Maka, segala tentang dia... memang sudah "mati" dalam fikiranku! Teruknya aku!!!
 
Ketika kami sampai di wad dia.. hatiku benar2 sayu melihat tubuh fizikalnya yg semakin kecil dan kurus! Ya Allah... kesiannya kawan aku ni.. ! Reaksi nya apabila melihat aku .. sangat terkejut. Sempat lagi dia berkata dlm nada lemah.. "Sudi jugak ko datang lawat aku ye Dah...!" Masyallah... kalau aku tak memikirkan orang2 di sekeliling yg memandang aku... sudah lama aku meraung kesal di situ. Dek nak kontrol sedih dan sayu.. aku cuba berbual-bual dengan isterinya yg aku memang agak..itu lah isteri keduanya!
 
Berbual dengan isterinya ini... membuka mindaku.. seterusnya menghapuskan persepsi prejudice ku terhadap isterinya ini! Dia memang seorang wanita yg baik.. Ramah dan begitu mengambil berat sekali tentang suaminya itu. Sempat lagi dia memberiahuku bahawa dia kini sudahpun berbadan dua..! Menurut isterinya, kawan aku nihh dah lama tak bekerja, sejak dia sakit teruk dulu. Maka.. dialah kini yg menjadi penyumbang utama ekonomi keluarganya. Memang agak perit sebab kawan aku juga masih menanggung isteri pertama dan 3 orang anak2 nya yg lain.
 
Dalam hal ini.. aku tak mahu komen apa2... Mungkin ini dugaan kawanku atas apa yg dilakukan sebelum ini. Dan aku memang tak berani lagi nak menasihati atau apa2. Bagiku... ini semua urusan Allah.. Kawan aku ini sekarang sedang diduga. Hanya Allah sahaja yg tau apa hikmah di sebalik dugaan yg diterimanya ini.
 
Namun, di sudut lain.. aku akui aku silap membuat kenyataan bahawa kawan aku ini telah tersilap membuat keputusan. Yg nyatanya.. keputusannya mengahwini isteri keduanya ini adalah tepat sekali! Aku dapat melihat.. kawan aku bahagia sekali berkahwin dengan isterinya ini. Aku dapat juga melihat kawanku merasa gembira kerana hidupnya terurus dan dijaga dgn penuh kasih sayang. Sedangkan, bila bersama dgn isteri pertamanya yg sakit itu.. dia terpaksa berkorban rasa, jiwa, tenaga, masa dan sebagainya. Padaku... dia juga berhak merasai kebahagiaan itu sepertimana suami2 yg lain...
 
Sebelum pulang, aku sempat memohon kemaafan kepada kawanku itu. Dia juga turut memohon maaf. Di kala ini.. memang tiada kata2 yg terluah namun kami tahu apa yg terpendam sudah dirungkaikan... Selepas ini, kawan ku perlu menjalani rawatan kimoterapi. Menurut doktor, kanser yg dialaminya ini in shaa allah bisa sembuh dgn syarat kawanku ini mematuhi segala rawatan perubatan yg perlu dilaluinya itu dgn sabar.
 
Aku doakan moga kau segera sembuh kawan!.. Moga kau menerima dugaan Allah ini dengan tenang dan sabar.. Maafkan aku sekali lagi....
 
Something to share for all of us :-
 

KENALI JENIS KANSER PROSTAT|RAWATAN KANSER PROSTAT

SAIZNYA cukup kecil. Ada yang menggambarkannya sebesar buah langsat atau buah berangan. Kedudukannya terletak betul-betul di bawah pundi kencing dan bersebelahan dengan rektum. Namun, fungsinya cukup besar. Bagi yang `memilikinya’, mereka sendiri tidak menyedari kewujudan kelenjar ini.
Salah satu sebabnya, mungkin kerana ia jarang menimbulkan masalah pada usia muda. Itulah kelebihan kelenjar prostat, satu-satunya kelenjar yang membezakan seorang lelaki dengan wanita.

Ia juga adalah sebahagian daripada organ sistem reproduktif dan sistem kencing lelaki. Lapan tahun lalu, London Times melaporkan, 89 peratus lelaki tidak tahu kedudukan sebenar kelenjar prostat mereka.
Kehadiran kelenjar ini hanya mula disedari apabila ia `menggugat’ ketenteraman hidup pemiliknya. Tatkala usia mencecah `fasa emas’, `gejala’nya mula dirasai.

Lebih menyulitkan, apabila rata-rata beranggapan masalah prostat adalah sebahagian daripada proses penuaan.

Tanggapan seperti ini menyebabkan masalah prostat menjadi sukar dibendung. Pakar Perunding Urologi dan Pakar Bedah Pemindahan Buah Pinggang, Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, Dr. Lee Kim Tiong berkata amat kurang yang menyedari masalah prostat sebagai sejenis penyakit yang sebenarnya bukan saja boleh dirawat.

Selain penyakit, komplikasinya juga dapat dicegah. “Paling menyedihkan apabila pesakit yang lewat mendapatkan rawatan telah pun berdepan dengan pelbagai komplikasi,” katanya.

Komplikasi ini menurut beliau termasuklah kegagalan buah pinggang atau pundi kencing berfungsi. Selain itu, pesakit juga mengalami jangkitan kuman yang berulang-ulang, kencing berdarah atau komplikasi batu karang. “Pembengkakan buah pinggang atau kegagalan buah pinggang jarang terjadi, tetapi ada kes yang dilaporkan dengan komplikasi ini,” ujarnya.

Kelenjar prostat mengumuhkan 25 peratus cecair yang bergabung dengan sperma semasa ejakulasi. Otot-otot seratnya menekan uretra bagi membantu mengawal aliran air kencing.
Cairan prostat bertindak sebagai pelincir bagi mencegah jangkitan pada uretra dan memberi tenaga kepada sperma.

Prostat juga mengandungi otot-otot yang berupaya mengawal kekeringan sekiranya individu terbabit mengalami kecederaan otot luar sfinkter. Di Asia, dianggarkan 50 hingga 59 peratus kes prostat membabitkan warga tua. Dr. Lee memberitahu, gejala seperti sukar membuang air kecil, terpaksa meneran ketika membuang air kecil, kencing yang tidak lawas, kerap kencing atau aliran air kencing yang terputus-putus seharusnya tidak dipandang ringan.

Masalah ini menjadi lebih teruk sekiranya `masih ada’ air kencing yang berbaki dalam pundi kencing. “Apabila pundi kencing telah penuh, kekerapan membuang air kecil turut meningkat. Jika waktu malam, ia pasti mengganggu tidur individu terbabit,” ujarnya.

Tambahnya, jika air kencing tersekat dalam jangka masa yang lama, pundi kencing menjadi tidak stabil. Akibatnya, ia akan menguncup serta-merta dan mengakibatkan air kencing terkeluar tanpa dapat dikawal.
Tiga masalah utama kelenjar ini ialah:

* Benign hyperplasia prostate – BPH
* Kanser prostat
* Radang prostat.

Jenis-jenis masalah prostat
* Benign prostatic hiperplasia (BPH)
Ketika seorang bayi baru dilahirkan, saiz prostatnya hanya sebesar kacang tanah. Tumbesaran kelenjar ini bermula pada peringkat baligh, sehinggalah individu terbabit mencecah usia 20-an.

Ia kekal dengan saiz yang sama dalam tempoh beberapa tahun. Bagaimanapun, perubahan hormon setelah individu terbabit melangkau usia 40-an, kelenjar prostat mula membesar dan menunjukkan perubahan.
Bukan sesuatu yang memeranjatkan jika dikatakan dari saiz sebiji langsat menjadi sebesar buah ciku. Keadaan ini lebih dikenali sebagai benign prostatic hyperplasia (BPH).

Benign adalah satu keadaan yang bermaksud bukan kanser. Hyperplasia bermaksud pembesaran secara berlebihan. Pembesaran saiznya ini mengakibatkan diameter uretra menjadi sempit.
Ia sekali gus menyebabkan aliran air kencing terganggu. Bagi yang menghadapinya, mereka berasa tidak selesa dan mengalami beberapa gejala seperti:
* Sukar membuang air kecil
* Terpaksa meneran apabila membuang air kecil
* Aliran kencing tidak lancar atau terputus-putus
* Kencing tidak lawas
* Tidak berupaya membuang air kecil.

Rawatan BPH bergantung kepada tahap keseriusannya. Bagi yang sederhana, memadai dengan ubat-ubatan. Rawatan pembedahan secara teropong, hanya dilakukan untuk kes-kes yang serius.
Selain itu, prostat boleh dirawat dengan mengurangkan ketegangan atau mengecutkan pembesaran otot-ototnya. Laser, Microwave thermotherapy, Transurethral Needle Ablation, High Intensity Focused Ultrasound antara prosedur baru tanpa melibatkan pembedahan besar.
Transuretharal resection of the prostate – TURP merupakan kaedah yang menggunakan lilitan wayar elektrik untuk mengeluarkan kelenjar prostat.

Kanser prostat (cancer prostat)
Tidak seperti BPH di mana tumbesaran kelenjar ini bersifat setempat, dalam sesetengah kes kanser ini boleh merebak ke lain-lain bahagian tubuh.
Sesetengah pesakit dikesan telah melarat ke tulang hingga membahayakan nyawa. Kes seumpama ini berlaku dengan anggaran antara 20 hingga 30 peratus di kalangan warga tua.
Masalah ini dapat dirawat sekiranya kanser bersifat setempat. Pengesanan awal penting bagi menangani masalah ini.

Radang prostat (prostatitis)
Jangkitan kuman dikatakan berpunca daripada kuman yang menyebabkan prostat mengalami radang. Selain mengalami ketidaklancaran air kencing, pesakit mengalami demam, seram sejuk, sakit semasa kencing dan sakit antara buah zakar dan dubur.

Rawatan
Ia banyak bergantung kepada punca. Sekiranya disebabkan jangkitan kuman akut, rawatan segera dan secara agresif dengan ubat antibiotik perlu dilakukan. Jika dibiarkan, ia boleh membahayakan nyawa bimbang kumannya merebak ke dalam darah (septicaemia). Ubat-ubatan antibiotik, mengawal radang dan kaunseling antara strategi untuk menangani radang prostat yang kronik.

No comments: